Saturday 16 July 2011

PPG UUM Kohort 1

Assalamualaikum, Selamat Sejahtera dan Salam 1Malaysia. Pertama sekali, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pensyarah dan para sahabat PPG UUM 2011 atas kerjasama yang diberikan dalam semua aktiviti dan tugasan yang dilaksanakan sepanjang semester ini. Hanya Tuhan yang dapat membalas jasa kalian. Semoga kita berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir nanti, Insya Allah. Sekian, terima kasih. Wassalam.

Syair Pesanan Ayahanda

Dengarkan tuan ayahanda berperi,
Kepada anakanda muda bestari,
Jika benar kepada diri,
Nasihat kebajikan ayahanda beri.

Ayuhai anakanda muda remaja,
Jika anakanda mengerjakan raja,
Hati yang betul hendaklah disahaja,
Serta rajin pada bekerja.

Menjalankan kerja janganlah malas,
Zahir dan batin janganlah culas,
Jernihkan hati hendaklah ikhlas,
Seperti air di dalam gelas.

Jika anakanda jadi besar,
Tutur dan kata janganlah kasar,
Janganlah seperti orang sasar,
Banyak orang menaruh gusar.

Tutur yang manis anakanda tuturkan,
Perangai yang lembut anakanda lakukan,
Hati yang sabar anakanda tetapkan,
Perasaan orang anakanda fikirkan.

Kesukaan orang anakanda cari,
Supaya hatinya jangan lari,
Masyhurlah anakanda dalam negeri,
Sebab kelakuan bijak bestari.

Nasihat ayahanda anakanda fikirkan,
Keliru syaitan anakanda jagakan,
Orang berakal anakanda hampirkan,
Orang jahat anakanda jauhkan.

Setengah orang fikir keliru,
Tidak mengikut pelajaran guru,
Tutur dan kata haru biru,
Kelakuan seperti anjing pemburu.

Tingkah dan laku tidak kelulu,
Perkataan kasar keluar selalu,
Tidak memikirkan orang empunya malu,
Bencilah orang hilir dan hulu.

Itulah orang akalnya kurang,
Menyangka dirinya pandai seorang,
Takbur tidak membilang orang,
Dengan manusia selalu berperang.

Hari Sukan Sekolah Kebangsaan Taman Ria

Pada 27Jun 2011 yang lalu, Sekolah Kebangsaan Taman Ria, Padang Serai, Kedah telah mengadakan Hari Sukan. Pada hari sukan ini, sebanyak lima buah rumah sukan mengambil bahagian. Rumah sukan yang terlibat, Rumah Merah, Rumah Biru, Rumah Hijau, Rumah Kuning dan Rumah Ungu.

Berikut adalah gambar-gambar mengenai hari sukan :-

Khemah urusetia

Perbarisan rumah Akhdar

Lompat tinggi 

Para pelajar bersiap sedia untuk dilepaskan.


Himpunan Simpulan Bahasa dan Maksud

Mencari Jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

Memerah Otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

Berbesar Hati
Maksud : Gembira.

Anak Buah
Maksud : a. Anak saudara. 
               b. Pekerja di bawah jagaan kita.

Tuan Rumah
Maksud : Tempat berlangsungnya sesuatu acara

Batu Penghalang
Maksud : Halangan

Darah daging
Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

Meninggi diri
Maksud : Sombong

Bermuka Dua
Maksud : Tidak jujur.

Baik Hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

Tulang Belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

Terang Hati
Maksud : Lekas pandai.

Rendah Hati
Maksud : Tidak sombong

Murah Hati
Maksud : Pemurah.

Tangan Kosong
Maksud : Hampa.

Lintah Darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

Anak Dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

Koleksi Peribahasa Melayu dan Maksud

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah

Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

Biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

Guru Bahasa Melayu Ke Luar Negara

Kerajaan bersedia meneliti cadangan untuk melatih dan menghantar guru Bahasa Melayu mengajar anak-anak warga Malaysia yang berada di luar negara bagi membantu mereka mempelajari dan menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, pelbagai aspek perlu dikaji terlebih dahulu termasuk dari segi penyediaan tenaga pengajar, buku teks serta silibus pengajaran dan pembelajaran.
Bahasa Melayu jelas beliau, tidak sukar untuk dipelajari justeru, mungkin boleh diwujudkan kelas untuk mengajar bahasa itu selama satu atau dua jam sehari.
‘‘Kita boleh hantar guru ke sini atau rakyat Malaysia yang berada di sini boleh ke Malaysia untuk belajar bahasa Melayu dan kembali ke Denmark untuk mengajar, kita perlu teliti mana yang sesuai.
‘‘Kita juga sedia hantar buku teks serta teliti silibus yang perlu diikuti untuk belajar bahasa Melayu selain melatih tenaga pengajar,” katanya ketika menjawab soalan Pengerusi Persatuan Rakyat Malaysia-Danish, Poo Chu Chua pada sesi dialog dengan rakyat Malaysia di Denmark pada majlis makan malam di sini malam tadi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran kini berada di Denmark bagi menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia-Eropah (Asem) Ketiga dan akan menyampaikan ucaptama pada sesi pertama sidang pleno persidangan itu.
Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya menekankan pentingnya rakyat Malaysia memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan walau di mana mereka berada.
Beliau kagum dengan sikap rakyat Denmark yang kebanyakannya boleh bercakap bahasa Inggeris tetapi mengutamakan bahasa Danish dalam percakapan dan urusan harian mereka.
Di Malaysia jelas beliau, bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan sentiasa dimartabatkan tetapi kepentingan penguasaan bahasa Inggeris tetap diberi perhatian.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kehadirannya pada persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asem penting bagi menjalin hubungan strategik dalam bidang pendidikan dengan negara-negara Eropah.
Sehubungan itu, katanya, sempena persidangan kali ini, beliau akan bertemu rakan-rakan sejawatnya untuk berkongsi pengalaman dan membincangkan pelbagai aspek melibatkan bidang pendidikan bagi faedah bersama.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri mengajak rakyat Malaysia khususnya para profesional yang berada di luar negara supaya pulang bekerja di tanah air dan Talent Corporation (Talent Corp) memperkenalkan program untuk membawa balik profesional dari luar negara.
Katanya, pelbagai insentif disediakan seperti insentif cukai pendapatan pada kadar tetap 15 peratus bagi tempoh lima tahun diberikan bagi menggalakkan mereka pulang ke tanah air untuk menjayakan program transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Sumber: Utusan Online

Pandangan

Cadangan ini pada saya adalah satu berita baik bukan sahaja untuk guru-guru Bahasa Melayu yang terpilih untuk menimba pengalaman malah untuk Bahasa Melayu itu sendiri agar ia dapat dimantap dan dimartabatkan walaupun berada jauh di luar nusantara.
Saya bersetuju dengan kenyataan yang Bahasa Melayu tidak sukar untuk dipelajari dan memiliki keindahannya yang tersendiri justeru saya merasakan bahawa dengan penghantaran guru-guru Bahasa Melayu yang terlatih ke luar negara bukan sahaja dapat memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan di kalangan warga Malaysia malah mengembangkannya kepada penduduk tempatan di negara itu sendiri.
Bagaimanapun satu perkara yang tidak harus kita lupakan sama sekali ialah pemantapan Bahasa Melayu di peringkat nasional sendiri di mana pelbagai usaha perlulah kita lakukan untuk memelihara Bahasa Melayu demi kesejahteraan, keharmonian, perpaduan dan sebagai khazanah yang berharga untuk generasi mendatang.
Kartun menarik sebagai tatapan minda:

Penghargaan buat inovasiminda.com

Panduan Membina Blog Menggunakan Blogspot