Kerajaan bersedia meneliti cadangan untuk melatih dan menghantar guru Bahasa Melayu mengajar anak-anak warga Malaysia yang berada di luar negara bagi membantu mereka mempelajari dan menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, pelbagai aspek perlu dikaji terlebih dahulu termasuk dari segi penyediaan tenaga pengajar, buku teks serta silibus pengajaran dan pembelajaran.Bahasa Melayu jelas beliau, tidak sukar untuk dipelajari justeru, mungkin boleh diwujudkan kelas untuk mengajar bahasa itu selama satu atau dua jam sehari.‘‘Kita boleh hantar guru ke sini atau rakyat Malaysia yang berada di sini boleh ke Malaysia untuk belajar bahasa Melayu dan kembali ke Denmark untuk mengajar, kita perlu teliti mana yang sesuai.‘‘Kita juga sedia hantar buku teks serta teliti silibus yang perlu diikuti untuk belajar bahasa Melayu selain melatih tenaga pengajar,” katanya ketika menjawab soalan Pengerusi Persatuan Rakyat Malaysia-Danish, Poo Chu Chua pada sesi dialog dengan rakyat Malaysia di Denmark pada majlis makan malam di sini malam tadi.Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran kini berada di Denmark bagi menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia-Eropah (Asem) Ketiga dan akan menyampaikan ucaptama pada sesi pertama sidang pleno persidangan itu.Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya menekankan pentingnya rakyat Malaysia memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan walau di mana mereka berada.Beliau kagum dengan sikap rakyat Denmark yang kebanyakannya boleh bercakap bahasa Inggeris tetapi mengutamakan bahasa Danish dalam percakapan dan urusan harian mereka.Di Malaysia jelas beliau, bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan sentiasa dimartabatkan tetapi kepentingan penguasaan bahasa Inggeris tetap diberi perhatian.Sementara itu, Muhyiddin berkata, kehadirannya pada persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asem penting bagi menjalin hubungan strategik dalam bidang pendidikan dengan negara-negara Eropah.Sehubungan itu, katanya, sempena persidangan kali ini, beliau akan bertemu rakan-rakan sejawatnya untuk berkongsi pengalaman dan membincangkan pelbagai aspek melibatkan bidang pendidikan bagi faedah bersama.Selain itu, Timbalan Perdana Menteri mengajak rakyat Malaysia khususnya para profesional yang berada di luar negara supaya pulang bekerja di tanah air dan Talent Corporation (Talent Corp) memperkenalkan program untuk membawa balik profesional dari luar negara.Katanya, pelbagai insentif disediakan seperti insentif cukai pendapatan pada kadar tetap 15 peratus bagi tempoh lima tahun diberikan bagi menggalakkan mereka pulang ke tanah air untuk menjayakan program transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Sumber: Utusan Online
Pandangan
Cadangan ini pada saya adalah satu berita baik bukan sahaja untuk guru-guru Bahasa Melayu yang terpilih untuk menimba pengalaman malah untuk Bahasa Melayu itu sendiri agar ia dapat dimantap dan dimartabatkan walaupun berada jauh di luar nusantara.
Saya bersetuju dengan kenyataan yang Bahasa Melayu tidak sukar untuk dipelajari dan memiliki keindahannya yang tersendiri justeru saya merasakan bahawa dengan penghantaran guru-guru Bahasa Melayu yang terlatih ke luar negara bukan sahaja dapat memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan di kalangan warga Malaysia malah mengembangkannya kepada penduduk tempatan di negara itu sendiri.
Bagaimanapun satu perkara yang tidak harus kita lupakan sama sekali ialah pemantapan Bahasa Melayu di peringkat nasional sendiri di mana pelbagai usaha perlulah kita lakukan untuk memelihara Bahasa Melayu demi kesejahteraan, keharmonian, perpaduan dan sebagai khazanah yang berharga untuk generasi mendatang.
Kartun menarik sebagai tatapan minda:
Penghargaan buat inovasiminda.com
No comments:
Post a Comment